Kedua-dua mereka dipilih sebagai pemenang oleh Lembaga Eksekutif MOM selepas memenangi dua pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia bulan lalu.
MOM memutuskan bahawa pemenang anugerah itu berdasarkan pencapaian cemerlang atlet pada sukan dwitahunan itu.
Chu Sian, yang berasal dari Kuala Lumpur, memenangi pingat emas bagi acara recurve lelaki individu dan berpasukan selepas berganding dengan Mohamad Khairul Anuar dan Haziq Kamaruddin, manakala penembak Nur Suryani dari Perak menyumbang dua pingat pingat emas dalam acara individu 10m Air Rifle dan 50m Rifle 3 Posisi.
Dengan kemenangan itu, kedua-dua atlet membawa pulang wang tunai RM10,000 dan pingat yang ditaja oleh Coca-Cola.
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Anugerah Olympian Tahunan adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh MOM sejak 1993 untuk mengiktiraf pencapaian atlet sukan lelaki dan wanita negara.
Ia adalah anugerah berprestij MOM yang dinobatkan kepada atlet sukan negara yang mempamerkan kecemerlangan dalam pelbagai disiplin sukan di bawah naungan MOM.
Bagi Chu Sian yang telah layak ke Sukan Olimpik London 2012, anugerah itu akan menjadi pembakar semangat untuk beliau meneruskan kecemerlangan pada temasya terbesar dunia itu nanti.
"Kemenangan yang diraih ini memang tidak disangka kerana dua lagi pesaing aitu Adrian Ang (boling) dan Bryan Nickson Lomas (terjun) juga menunjukkan prestasi yang hebat pada tahun ini," kata pemanah berusia 25 tahun itu.
Bagi Nur Suryani beliau tidak menyangka akan memenangi anugerah tersebut buat pertama kali memandangkan saingan sengit daripada dua lagi pencabarnya iaitu pelumba basikal trek wanita kebangsaan Fatehah Mustapha dan pasangan renang berirama Katrina Ann Abdul Hadi dan Shareen Png Hui Chuen.
"Saya tidak menyangka akan memenangi anugerah ini dan ini mungkin rezeki terbaik saya pada tahun ini," kata penembak berusia 29 tahun itu.
Sementara itu lapan bekas atlet kebangsaan dan pegawai sukan disenaraikan dalam Hall of Fame MOM kerana sumbangan mereka terhadap sukan negara.
Mereka adalah bekas presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) Datuk Khalid Yunus, presiden Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia Prof Datuk Dr W.Y Chin, presiden Persekutuan Wushu Malaysia Datuk Seri Kee Yong Wee dan bekas timbalan bendahari MOM S.Jahendran serta bekas presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Datuk Thomas Lee Mun Lung.
Penerima lain adalah bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pengadil hoki S.Kathiravele, pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (BJSS) Marina Chin dan bekas atlet kebangsaan dan pemain kriket, S. Karu.
-- BERNAMA
TAHNIAH CHU SIAN DAN NUR SURYANI !!!