Thursday, August 27, 2009
ASIAN ARCHERY COACHING AND TECHNIQUE SEMINAR
TARIKH : 1 – 4 Ogos 2009
TEMPOH LAWATAN : 4 Hari
TEMPAT LAWATAN : Taoyuan, Taiwan
PENERBANGAN PERGI : 0940 MH 094 (1 Ogos 2009)
PENERBANGAN PULANG : 1505 MH 367 (4 Ogos 2009)
NAMA PEGAWAI :
1.) PUVANESWARAN A/L MUNIANDI (Pegawai NAAM) &
2.) MOHAMAD AZMI NIAS AHMAD (Jurulatih Pahang)
3.) ZAINUDDIN BIN TALIB (Jurulatih Melaka)
4.) SYAHMI BIN MUHAMAD FAHUZI (Jurulatih Perak)
CABARAN PUSINGAN OLIMPIK, KATEGORI LELAKI ASIA DAN PEMANAH NEGARA DI ARENA ANTARABANGSA : KEPERLUAN PEMANAH BERSEDIA UNTUK PERUBAHAN-PERUBAHAN PERATURAN YANG MENCABAR.
Oleh : MOHAMAD AZMI BIN NIAS AHMAD
Sukan memanah mula dipertandingkan di Sukan Olimpik moden pada tahun 1900. Walaubagaimanapun, memanah telah digugurkan dalam acara Olimpik selpas itu disebabkan oleh tiadanya satu badan dunia yang bertanggungjawab menyelaraskan peraturan di kejohanan dunia tersebut. Dengan tertubuhnya badan dunia FITA (The International Archery Federation) pada 4 September 1931 memanah sekali lagi muncul semula di sukan Olimpik 1972 di Munich. Sejak itu penyertaan bagi sukan ini semakin bertambah dan memanah menjadi semakin popular.
Memandangkan ketika itu memanah menggunakan format FITA dan double FITA yang memerlukan pemanah memanah 114 atau 228 anak panah bagi empat jarak iaitu 90,70,50 dan 30 meter bagi acara lelaki dan 70,60,50 dan 30 meter bagi acara wanita, memanah dilihat sebagai acara yang membosankan bagi penonton dan menyebabkan memanah kurang mendapat perhatian media kerana sukan ini tidak mensajikan aksi-aksi dan drama yang boleh menyebabkan penonton tertarik. Selain daripada itu juga penonton tidak boleh bersorak menyokong pasukan masing-masing dan dominasi pasukan Korea di dalam sukan in juga menjadikannya semakin membosankan dan berat sebelah.
Atas desakan ingin menjadikan sukan memanah lebih menarik dan kompetitif, badan dunia FITA telah memperkenalkan pusingan Olimpik atau ‘Olimpic round’ bermula pada 1992 di Sukan Olimpik Barcelona. Pusingan Olimpik adalah pusingan kalah mati dimana pemanah perlu memanah sebanyak 18 batang anak panah di pusingan-pusingan awal dan 12 batang anak panah di punginan suku akhir hingga ke akhir. Pemanah akan memanah secara satu lawan satu dimana ranking ditentukan setelah pemanah memanah sebanyak 72 batang anak panah pada jarak 70 meter. Pemanah yang berada pada kedudukan pertama akan melawan pemanah di tempat 64, pemanah di tempat kedua akan melawan pemanah di tempat 63 dan seterusnya.
Pengenalan pusingan Olimpik pada temasya sukan Olimpik Barcelona 1992 telah menjadikan sukan memanah semakin menarik dan liputan media semakin bertambah kerana debaran acara ini yang sangat kompetitif dimana biasanya pemenang ditentukan pada anak panah terakhir yang pada kebiasaannya hanya dibezakan dengan hanya 1 atau 2 mata sahaja. Sebagai contoh, di sukan Olimpik Beijing, Pemanah China, Zhang Juan Juan telah mengejutkan pemanah dari Korea Park Sung Hyun dengan satu mata, 110-109, begitu juga pemanah Ukraine, Ruban Viktor mengalahkan Park Kyung Mo daripada Korea dengan satu mata, 113-112.
Pusingan Olimpik memberi lebih banyak gangguan dari penonton. Di pusingan Olimpik, penyokong dibenarkan menyokong pasukan kegemaran mereka. Undang-undang ini sememangnya memberi cabaran besar kepada pemanah yang ingin fokus ketika membidik sasaran. Selain daripada itu tempoh panahan yang semakin disingkatkan dari 40 saat untuk memanah setiap anak panah kepada 30 saat dan di sukan Olimpik 2012, masa panahan dijangkakan disingkatkan kepada 20 saat akan terus memberi tekanan kepada pemanah-pemanah. Tekanan ini terbukti ketika perlawanan akhir acara individu wanita, pemanah terkemuka Korea, Park Sung Hyun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak walaupun pasukan Korea telah membuat bantahan kerana beliau diganggu ketika ingin melepaskan anak panah oleh penonton pasukan tuan rumah yang telah meniup wisel dengan kuat
Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh pemanah lelaki asia ialah mereka belum pernah memenangi pingat emas acara individu sejak 1972 seperti maklumat di bawah:
PEMENANG PINGAT EMAS KATEGORI LELAKI
No Sukan Olimpik Pemenang Pingat Emas Negara
1 Beijing 2008 Ruban Viktor Ukraine
2 Athens 2004 Marco Galiazzo Italy
3 Sydney 2000 Simon Fairweather Australia
4 Atlanta 1996 Justin Huish USA
5 Barcelona 1992 Sebastien Flute France
6 Seoul 1988 Jar Barrs USA
7 LA 1984 Darell Pace USA
8 Moscow 1980 Tomi Poikolainen Finland
9 Montreal 1976 Darell Pace USA
10 Munich 1972 John Williams USA
11 Paris 1900 Henri Herouin France
Fakta di atas agak mengejutkan disebabkan pemanah-pemanah asia yang hebat daripada Korea, Jepun dan lain-lain sering kali menduduki tangga teratas ranking dunia dan sering memenangi kejohanan-kejohanan dunia.
Daripada perspektif Negara kita, Malaysia belum lagi memenangi pingat di sukan Olimpik. Walaubagaimanapun, Malaysia seringkali memenangi pingat di kejohanan-kejohanan besar yang juga disertai oleh Negara-negara pemenang pingat di sukan Olimpik. Persoalan timbul, adakah Malaysia bersedia sepenuhnya untuk menggenggam pingat emas Olimpik? Ada pihak-pihak tertentu mengatakan pemanah Negara terlalu gugup sewaktu di Sukan Olimpik Beijing 2008. Adakah ini alasan atau realiti yang perlu ditangani oleh pihak persatuan dan Majlis Sukan Negara? Dalam salah satu akbar tempatan, jurulatih Malaysia, Encik Lee Jae Hyung mengatakan bahawa pemanah Negara kurang pendedahan untuk bermain dikejohanan besar seperti sukan Olimpik. Ini ditambah pula dengan satu fakta yang tidak boleh disangkal oleh semua pihak iaitu mengikut sejarah, semua pemenang pingat emas Olimpik bagi semua kategori (individu lelaki, individu wanita, berpasukan lelaki dan berpasukan wanita) datangnya daripada Negara maju seperti jadual dimuka surat sebelah.
INDIVIDU
No Sukan Olimpik Kategori Lelaki Negara Kategori Wanita Negara
1 Beijing 2008 Ruban Viktor Ukraine * Zhang Juan Juan China
2 Athens 2004 Marco Galiazzo Italy Park Sung Hyun Korea
3 Sydney 2000 S Fairweather Australia Yun Mi Jin Korea
4 Atlanta 1996 Justin Huish USA Kim Kyung Wook Korea
5 Barcelona 1992 Sebastien Flute France Cho Youn Jeon Korea
6 Seoul 1988 Jar Barrs USA Kim Soo Nyung Korea
7 LA 1984 Darell Pace USA Seo Hyang Soon Korea
8 Moscow 1980 T Poikolainen Finland Keto Losaberidze URS
9 Montreal 1976 Darell Pace USA Luann Ryon USA
10 Munich 1972 John Williams USA Doreen Wilber USA
11 Paris 1900 Henri Herouin France Tidak dipertandingkan
*Ukraine adalah bekas Negara Rusia dimana Rusia tersenarai sebagai Negara maju
BERPASUKAN
No Sukan Olimpik Kategori Lelaki Kategori Wanita
1 Beijing 2008 KOREA KOREA
2 Athens 2004 KOREA KOREA
3 Sydney 2000 KOREA KOREA
4 Atlanta 1996 USA KOREA
5 Barcelona 1992 SPAIN KOREA
6 Seoul 1988 KOREA KOREA
Fakta di atas jelas membuktikan bahawa jika ingin menang pingat emas Olimpik, pemanah perlu ada minda kelas pertama seperti minda rakyat dinegara maju. Oleh itu perkembangan kajian dan latihan yang lebih kemas, berteknologi tinggi, konsisten dan holistic perlu diterapkan diperingkat awal. Menurut Profesor Um Sung Ho, teknik yang hebat belum menjamin seorang pemanah itu boleh menjadi johan Olimpik. Beliau menegaskan bahawa seorang pemanah kotemporari perlu ada mental yang kuat, hati yang tenang dan fizikal yang hebat bagi menjadi pemanah yang berkualiti. Semua faktor-faktor tersebut perlukan latihan berterusan.
Menyedari hakikat ini, Persatuan Memanah Asia (Asian Archery Federation) merintis jalan untuk memberi latihan dan pendedahan kepada jurulatih-jurulatih di Asia bagi melahirkan pemanah yang mempunyai kualiti yang disebut oleh Profesor Um Sung Ho. Peserta diberi pendedahan mengenai aspek dalaman pemanah bagi membolehkan pemanah mendapat fokus yang maksima. Selain daripada itu aspek fisiologi, latihan fizikal dan Psikologi menjadi fokus utama di dalam seminar ini dimana pembentang-pembentangnya adalah dikalangan pensyarah-pensyarah Pengajian Sukan di Taiwan. Salah satu kertas kerja yang bertajuk “Biomechanics Application on Archery” oleh pembentang, Dr Wen Tzu Tang yang mengkaji aspek biomekanik pemanah amat menarik perhatian dan membuka mata peserta mengenai betapa pentingnya kajian ini sepatutnya dilakukan kepada pemanah-pemanah elit Negara.
Ahli akademik di Taiwan begitu komited melakukan kajian bagi membantu sukan memanah. Hasil kajian-kajian ini dapat dilihat bermanfaat kepada mereka apabila pasukan memanah Taiwan Berjaya memenangi pingat perak perak bagi acara berpasukan lelaki dan pingat gangsa bagi acara berpasukan wanita di Temasya sukan Olimpik Athens 2004.
Memandangkan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara membangun dimana tahap pemikiran dan sikap rakyatnya yang belum mencapai tahap Negara maju adalah dicadangkan pihak-pihak tertentu membuat kajia-kajian untuk mencari kaedah terbaik untuk melatih pemanah-pemanah Negara. Walaupun ianya boleh dianggap remeh, namun sejarah membuktikan siapa yang mempunyai mental yang kuat, hati yang tenang dan fizikal yang hebat dan yang penting mempunyai minda kelas pertama, dialah juara Olimpik.
Adalah diharapkan juga supaya ahli-ahli akademik dikalangan pensyarah-pensyarah sains sukan dapat tampil membantu pasukan memanah Negara bagi membuat kajian di dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan memanah. Semua pihak perlu berganding bahu untuk memastikan memanah akan menyumbangkan pingat emas pertama Negara di sukan Olimpik suatu masa kelak.
Mohamad Azmi Bin Nias Ahmad
(Jurulatih Pahang / UiTM / Compound UiTM Pahang)
Beliau boleh di hubungi di :
Mohamad Azmi Bin Nias Ahmad
Pensyarah Kanan , Fakulti Perakaunan
UiTM Pahang, 26400 Bandar Jengka, Pahang Darul Makmur
H/P : 019-2364466
Fax : 09-4602116
Email : azminias@gmail.com
blog Kelab : http://uitmarcher.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment