Oleh : Mohamad Azmi Nias Ahmad & Mukhriz Mohamed
ANTALYA, TURKIYE, 19 April 2023 - Dua pemanah UiTM, Mohamad Syafiq Md Ariffin (UiTM Shah Alam) dan Nurul Azreena Mohamad Fazil (UiTM Dengkil) telah berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi pusingan kelayakan berpasukan di Piala Dunia Antalya 2023 (Archery World Cup, Antalya 2023) di TURKIYE di bawah bimbingan jurulatih alumni, Encik Marbawi bin Sulaiman yang juga merupakan Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan.
Mohd Syafiq bersama dua orang rakan beliau Mohd Juwaidi Mazuki dan Alang Arif Aqil Muhammad Ghazali memperbaharui rekod acara compound berpasukan lelaki dengan skor 2114, 15 mata lebih baik dari catatan 2099 yang dilakukan pada tahun 2019.
Nurul Azreena dan rakan sepasukannya, Syaqiera Mashayikh dan Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini, tidak kurang hebatnya dengan memecahkan rekod kebangsaan acara recurve wanita yang sudah berusia 6 tahun dengan skor 1900 berbanding 1898 yang dicatatkan pada tahun 2017.
Selepas pusingan kelayakan ini, mereka akan beraksi di pusingan olimpik (kalah mati) bagi acara berpasukan dan individu. Kejohanan memanah Antalya 2023 Hyundai Archery World Cup Stage 1 ini yang bermula pada 18 April 2023 ini akan berakhir pada 24 April 2023. Demi lencana di dada, pelajar-pelajar ini akan berhari raya di perantauan pada tahun ini. Semoga dengan pengorbanan ini, mereka akan berjaya di pusingan kalah mati tersebut.
Seluruh warga UiTM merasa bangga dengan kejayaan ini. Usaha mereka ini jelas membuktikan bahawa pelajar UiTM sememangnya bertaraf dunia dan jika diberi sedikit lagi pendedahan menyertai kejohanan, tidak mustahil mereka juga akan layak berada di ranking dunia yang lebih baik seterusnya layak untuk ke sukan olimpik (bagi kategori recurve).
Penyertaan pemanah-pemanah UiTM ini selaras dengan SDG3 - Kesihatan Baik dan Kesejahteraan ("Memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur."). Ia jelas UiTM sedang membudayakan nilai teras SDG tanpa membataskan peranannya hanya sebagai pusat penyebaran ilmu (UiTM).
No comments:
Post a Comment