Wednesday, October 13, 2010

Kejohanan KO Memanah 2010 ke 7

UiTM Pahang, 9-10 Oktober 2010. Kejohanan KO Memanah kali ke 7 telah diadakan dengan penyertaan seramai 130 pemanah UiTM Pahang yang terdiri dari 110 pemanah KO dan 20 pemanah Kelab Memanah UiTM Pahang yang dikendalikan oleh Encik Mohamad Azmi Bin Nias Ahmad dan Cik Mon Redee Sut Txi.

Majlis Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Prof Madya Dato Dr Haji Hilmi Bin Ab Rahman. Di dalam ucapan, beliau menyatakan bahawa pihak Pengurusan sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan sukan di kalangan pelajar khususnya sukan memanah bagi melahirkan pemanah yang bertaraf dunia yang mungkin suatu hari kelak dapat membawa pulang pingat Emas Olimpik.

Kejayaan-kejayaan beberapa orang pemanah UiTM Pahang merentasi sempadan untuk menyertai beberapa kejohanan seperti Kejohanan Memanah Universiti Dunia di Taiwan pada tahun 2008 dan pada tahun 2010 di China, Sukan SEA 2009 di Laos dan Sukan Commonwealth 2010 di India telah membuktikan bahawa dengan usaha yang lebih dan bersistematik, pemanah UiTM boleh pergi lebih jauh.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Kelab Memanah UiTM Pahang ini mempunyai 4 kategori iaitu KO Lelaki, KO Wanita, Recurve dan Compound. Bagi kategori Recurve Nurul Ashyiekin Najla Binti Amran telah muncul juara, manakala Nik Mohamad Faiz Bin Khalid dan Adibah Binti Tajuddin masing-masing telah memenangi pingat perak dan gangsa. Kurniadi Bin Muhtar melebarkan penguasaan dalam kategori Compound dengan menewaskan Muhammad Aiman Syazwan Bin Othman dalam acara ini. Manakala Nurul Atiqah'adawiyah Binti Mat Rozai telah memenangi pingat gangsa.

Kategori KO lelaki pada edisi kali ini menyaksikan persaingan sengit dimana kemenangan pemanah ada yang ditentukan dengan pemutus seri (tie breaker) dan rata-rata pemanah menang dengan hanya perbezaan 1 mata. Dalam penentuan pingat emas, Azizul Aizat Bin Ab Azid dari kumpulan Rilex Dulu telah menewaskan rakan sepasukan Ahmad Shazeel Bin Mohd Israpil 112-111. Manakala pingat gangsa dimenangi oleh Mohamad Taufik Bin Mohamad setelah menewaskan Mohamad Nizam Bin Rasidi melalui pemutus seri setelah seri dengan mata 110-110.

Acara wanita pula menyaksikan peluang sedikit terbuka kerana menyaksikan dominasi pemanah-pemanah yang mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam pusingan kelayakan. Shaza Bt Mohd Shah dari kumpulan Stass Archery telah muncul Johan setelah menewaskan Raja Nabila Syazwanee Bt Raja Hazman Shah, 102-98. Manakala Noorizan Bt Abd Rahim telah memenangi gangsa setelah menewaskan Rabiatul Adawiyah Bt Abd Razak, 101-87. Setelah semua acara tamat, Kumpulan Rilex Dulu, yang disertai oleh Muhammad Hazwan Bin Mohd Hafizam, Ahmad Shazeel Bin Mohd Israpil, Ahmad Fakhzan Bin Aziz, Nurhidayah Bin Harun, Nurul Fatiha Binti Ahmad Sabki dan Azizul Aizat Bin Ab Azid telah muncul Johan keseluruhan.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.